Sunday, January 22, 2012

Novelku yang masih belum siap!!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hai-hai-hai! Bertemu kembali dalam entri terbaru ini. Hari ini saya mahu masukkan novel yang masih belum siap-siap,hehehehehe. Dipersilakan memberi komen dan kritikan,ya! 

Syahilla bangun daripada tidur ketika jarum jam menunjukkan pukul 6:45 pagi.Itupun setelah mendengar bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu dan deringan jam loceng sebanyak 3 kali. Dia segera menuju bilik air untuk menggosok gigi,mencuci muka dan mengambil wuduk bagi menunaikan solat yang tidak pernah ditinggalkan olehnya. Walau berada sehingga hujung dunia sekalipun, yang wajib tetap wajib. Perintah Allah dan arahan Al-quran tidak pernah lapuk dek zaman. Itu pegangan Syahilla yang tersemai teguh di jiwanya.
Selesai bersolat, Syahilla membuka komputer riba dan melayari laman facebook. Tiada apa-apa yang menarik selain gambar-gambar perkhemahan yang dimasukkan oleh Ustaz Syakirin.
“Di mana agaknya Asyikin dan Umairah menghilang? Bersembunyi di gua batu kapur agaknya.” Syahilla merungut apabila dua orang rakan baiknya tidak online pada masa itu.
“Tidak boleh salahkan mereka juga. Pukul 7:05 minit pagi siapalah yang akan menghadap komputer riba? Lebih baik bergulung dalam selimut dan bersenang-lenang di atas katil.” Balas satu suara yang cukup dikenalinya.
“Kakak!Mengapa masuk bilik Illa tidak ketuk pintu dahulu?” Bentak Syahilla geram.
Syuhada ketawa sebelum berkata, “Kakak mahu ajak Illa bantu ibu sediakan sarapan. Kakak kasihan lihat ibu, teman rapatnya hanyalah Kak Suraya. Jika Kak Suraya balik bercuti, ibu sudah tiada tempat mahu mengadu nasib.” Perlahan suara Syuhada mengucapkannya.
Syahilla terdiam. Ada benarnya kata Syuhada. Puan Jamilah sudah lama sendiri menanggung derita. Itu semua disebabkan ayah, lelaki yang sudah lama menghilangkan diri.
Dia mengeluh. Sehingga sekarang dia tidak mengerti mengapa rumahtangga ayah dan ibunya berantakan. Apa yang dia tahu, ayahnya lari meninggalkan keluarga sewaktu usianya baru mencecah 3 tahun. 
“Illa,Syada,mari turun. Ibu dan Kak Suraya sudah sediakan sarapan.” Suara lembut Puan Jamilah menyapa telinga dua beradik itu.
“Alah, baru sahaja berangan-angan mahu jadi chef pagi ini. Tengok-tengok sarapan sudah siap sedia.” Syuhada berseloroh.
“Jika mahu jadi chef, perlu pandai siang ikan, potong sayur dan goreng telur. Kakak masak nasi pun jadi bubur, inikan pula mahu bakar roti dan goreng mi! Ish,simpang malaikat 44!” Syahilla mempamerkan reaksi ngeri.
“Eh, itu peristiwa sebulan yang lalu. Sekarang kakak sudah pandai,tahu. Pada usia 16 tahun, itu satu pencapaian yang memberangsangkan!” Syuhada membela diri.
“Huh, tahu masak nasi pun sudah riak. Saya sudah pandai masak ayam masak merah, nasi goreng kampung dan kek yang sedapnya menjilat jari! Siapa lebih hebat, orang berusia 16 tahun atau budak yang baru berumur 14 tahun? ” Kata-kata Syahilla itu jelas masuk bakul,angkat sendiri. Membuatkan Syuhada tercebik-cebik bibirnya. Namun dia tahu, adiknya memang berbakat dalam bidang masakan. Tiada siapa boleh menafikannya.
“Ish,sudah-sudahlah bertengkar. 24 jam asyik bergaduh sahaja kerjanya.” Puan Jamilah sudah mula membebel. Tangan kanannya dicekakkan ke pinggang, memarahi dua beradik yang tidak pernah surut pergaduhannya.
Syuhada dan Syahilla diam. Namun kening masing-masing dinaikkan, mengisyaratkan ‘perang’ masih belum berakhir!
***



No comments:

Post a Comment